SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG RASMI SEKOLAH KEBANGSAAN APAL

SEJARAH SEKOLAH

SEJARAH AWAL SEKOLAH KEBANGSAAN APAL
Sekolah Kebangsaan Apal merupakan antara sebuah sekolah terawal ditubuhkan di Daerah Besut. Ia telah ditubuhkan memandangkan keperluan pendidikan secara formal pada masa itu bagi penduduk kampung sekitar kawasan Apal seperti Kampung gong Lilit, Gerong, Apal Muda,Apal Tua, Batang Gergaji dan sebahagian Kampung Gong Nangka.

INSFRASTRUKTUR
Bangunan asal sekolah telah didirikan di atas tanah yang didermakan oleh Haji Said yang merupakan seorang hartawan di Kampung Apal. Bangunan sekolah ini dibina dari tiang kayu macang dan tembesu dengan cara gotong royong. Bangunan sekolah yang didirikan panjangnya 80 kaki dan 20 kaki lebar.(Asalnya 60 kaki panjang ditambah kemudian menjadi 80 kaki.) Sehingga tahun 1951, jumlah muridnya ialah seramai 80 orang.

Upacara perasmian pembukaan telah diadakan pada 3 Mac 1951 oleh Dato Haji Ali bin Long selaku Nazir Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu. Beliau menaiki kereta Moris berwarna hitam dengan nombor pendaftaran T 61.

PEMBINAAN SEKOLAH FASA KEDUA
Oleh kerana keperluan kepada sekolah yang lebih besar disebabkan keramaian murid bertambah, pada tahun 1953, satu mesyuarat untuk membina sebuah sekolah baru telah diadakan. Mesyuarat agung yang melibatkan semua ibu bapa dari kampung berdekatan telah mencapai muafakat untuk membina sekolah secara gotong royong juga. Mesyuart khas yang terdiri dari wakil-wakil kampung atau pada masa itu dikenali sebagai orang-orang ‘masam kepala’ atau orang yang disegani telah diadakan. Penghulu Kampung Apal pada masa itu ialah Encik Senik bin Jusoh. ‘Muafakat membawa berkat”, begitulah masyarakat mereka berpakat mengambil kayu dari hutan berdekatan dengan menggunakan kerbau. Mereka membawa balik kayu dan menggergaji untuk menjadikan tiang dan perkakas kasar. Peralatan yang digunakan adalah peralatan tradisional seperti gergaji, kapak dan lain-lain.

Modal untuk pembiayaan membina sekolah telah ditetapkan secara kutipan sebanyak RM10.00 bagi setiap orang penduduk kampung berkenaan. Bagi mereka yang tidak mampu membayar, dipersetujui untuk menggunakan tenaga mereka dengan nilai RM10.00 untuk membina sekolah dan tenaga selebihnya akan diberi upah. Penduduk kampung menyumbangkan tenaga mereka menebang kayu, mengerat dan menggergaji kayu dengan menggunakan gergaji tangan. Mereka yang bertanggung jawab mengetuai pembinaan sekolah itu ialah kepala tukang seperti Pak Su Leh, Mat Amin, Hj.Salleh dan lain-lain. Jawatankuasa membuat sekolah terdiri dari:

1. Penghulu Senik
2. Che Soh
3. Awang Teh
4. Pak Chu Awang Ngah
5. Hamzah Awang Ngah
6. Pak Su Leh (kepala tukang)
7. Abu Bakar (kepala tukang)
8. Wakil-wakil kampung berdekatan
9. Pak Da Leh (Kg. Gong Lilit)

Pejabat Pelajaran Terengganu telah memberi sumbangan atap (asbestos), dinding kayu serta bantuan bangku. Pagar sekolah telah dibina pagar kayu hasil dari gotong royong guru dan murid dengan mengambil kayu dari Bukit Apal.Kayu dipikul pada hari Jumaat dan Sabtu. Akhirnya dengan hasil kerjasama tersebut, sebuah sekolah sepanjang 200 kakitersergammegah.

Sekolah Kebangsaan Apal telah dibuka dan diresmikan pada bulan April/Mei pada tahun 1954 oleh DYMM Sultan Ismail Ibn Al-Marhum Sultan Zainal Abidin.

GURU SEMASA PEMBUKAAN SEKOLAH

Guru-guru yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Apal semasa pembukaan sekolah ialah:
1. Cikgu Yazid bin Hussin (berasal dari Kg.Raja) selaku Guru Besar
2. Cikgu Nik Mahmood Nik Abdullah (Kg.Gong Nering)
3. Cikgu Hj.Mokhtar bin Hj.Abas (Kg.Pak Wong)
4. Cikgu Khadijah Ahmad (Depan Sek.Keb.Pusat Jerteh)
5. Cikgu Abd.Rahman Awang Senik ( Cabang Tiga Jerteh)

BILIK DARJAH
1. Sekolah terdiri dari 5 kelas iaitu darjah satu, darjah dua,darjah tiga, darjah empat dan darjah lima.
2. Papan hitam dibuat dari papan yang dilekat pada turus dan dicat warna hitam
3. Bangku murid dibuat secara bangku tanam dalam tanah untuk 3 orang murid bagi satu bangku. Bangku tempat duduk juga ditanam.
Keadaan kelas sekolah asal.

KEADAAN KAWASAN SEKOLAH

Di kawasan sekolah terdapat kebun tanaman sayur-sayuran seperti lada, timun, kangkung, bendir, kacang, terung dan lain-lain. Bagi murid-murid yang lebih besar setiap orang diperuntukkan 3 batas manakala bagi murid yang lebih kecil, 3 batas untuk 3 orang. Di kawasan sekolah juga terdapat tanaman bunga dan padang bola. Pokok-pokok bunga ditanam oleh murid dan guru seperti berbagai jenis puding, pisang tasbih, bunga matahari, kembang setahun dan lain-lain jenis. Pokok bunga ditanam dalam bentuk bulatan dan tiga segi.


PAKAIAN SERAGAM MURID
1. Bagi murid lelaki, mereka memakai seluar pendek biru berbaju putih (bagi orang yang mampu)
2. Bagi murid perempuan, mereka memakai baju kurung dan kain biru. Bagi murid yang tidak mampu dibolehkan memakai baju biasa seperti kebaya.

No comments:

Post a Comment